September 20, 2017


(Antara Pos) – Adakah PPBM sama taraf dengan PKR yang mempunyai 29 kerusi berbanding PPBM satu? Atau, DAP yang ada 37 kerusi berbanding dengan Amanah yang bawa lari enam kerusi PAS?

Meminggir semua. Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia untuk memeta jalan menakluki Putrajaya. Kini masalah kerjasama sesama empat parti – DAP, PPBM, PKR dan Amanah – sudah selesai dan tiba hari pembuangan undi Pilihanraya Umum ke-14, PH semakin pasti boleh memerintah Malaysia.

Cuba semak senarai persiapan PH. Pertama, soal masuk gelanggang menggunakan satu manifesto dan logo yang sama. Beres. Kini tinggl soal prosedur sahaja. Pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dijangka tiada masalah.

PH sudah ada struktur parti yang lengkap dan logonya pun sudah siap. Yang tinggal ialah perbincangan pengagihan kerusi dan PH sudah sedia menghadapi Umno-BN, PAS dan mungkin ada parti-parti nyamuk lain.

Kedua, struktur kepimpinan PH. Lengkap. Ketua Umum PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maknanya jenama PH sebagai sebuah parti reformasi boleh dituangkan imej politik Anwar. Beliau pun sudah dipersiapkan untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelapan, bukan ketujuh kata Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lantas, rajuk Anwar hingga tidak mahu dicalonkan sebagai bakal jadi Perdana Menteri Pembangkang sudah selesai. Sekarang beliau ialah ikon PH – Ketua Umum.

Soalnya, benarkah demikian?

Nampaknya, dalam menghadapi Mahathir ini, Anwar tahu beliau tidak akan menang. Anwar tolak mahu menjadi calon Perdana Menteri kerana tidak mahu Mahathir diberi kuasa sebagai Pengerusi PH lengkap dengan kuasa eksekutif.

Bagaimanapun untuk memujuk Anwar, beliau diberi jolokan Ketua Umum PH. Jika difikirkan kekalutan di antara anak-anak buahnya dalam PKR pun, Anwar sebagai Ketua Umum PKR gagal menguruskannya kerana halangan jeriji besi penjara Sungai Buloh, bagaimana mengurus PH dari dalam penjara?

Anwar tidak mungkin berkesempatan memanggil mesyuarat PH ke dalam penjara. Suka tidak suka tinggal Mahathir untuk menguruskan semua mesyuarat PH. Kuasa eksekutif PH berada di tangannya. Rajuk dan protes Anwar tidak menjadi kudis baginya.

Yang meragukan Anwar ada pemimpin PH masih belum faham implikasi Mahathir berkuasa eksekutif penuh dalam PH. Yang pasti ketika beliau mempengerusikan mesyuarat, pemimpin lain perlu menanti giliran bercakap, termasuk Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Arah tuju dan kecenderungan keputusan PH terletak di tangan pengerusi. Justeru agak aneh apabila ada naib presiden PKR seperti Dr Xavier Jayakumar berkata, walaupun mantan perdana menteri itu meneraju PH, semua keputusan akan dibuat atas dasar konsensus.

Malah yang lebih naif ialah ada pemimpin Amanah yang berharap jaminan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa semua parti PH adalah sama taraf, adalah benar.

Lantas Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad yakin atas jaminan itu, isu-isu penting yang belum mencapai kata sepakat akan diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kena akui pengagihan kerusi itu berbeza dengan PRU13 kerana 222 kerusi hanya dibahagi tiga. Kini agihan kepada empat parti yang ada sedikit beza, namun matlamat bersama untuk menentukan kita kekal bersatu.

“Dr Mahathir sendiri secara berkali-kali ketika mesyuarat menyebut keadaan kita tak seperti BN. Kita adalah gabungan antara parti yang sama taraf. Bukan ada parti yang dominan yang menentukan kesemuanya seperti Umno.

“Kemungkinan besar mesej itu ditumpu kepada PPBM memandangkan mereka biasa dengan keadaan Umno dominan. Apabila berada di dalam PH, jangan bawa budaya yang sama dan ia diingatkan sendiri oleh Dr Mahathir,” ujar Khalid.

Soalnya, adakah PPBM sama taraf dengan PKR yang mempunyai 29 kerusi berbanding PPBM satu? Atau, DAP yang ada 37 kerusi berbanding dengan Amanah yang bawa lari enam kerusi PAS?

Bagi yang mengenali Mahathir tentu faham sikap “ketegak” beliau. Mahathir pernah menentang presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra al Haj dan dipecat dari Umno. Ketika di luar Umno Mahathir menumpang platform PAS untuk menyerang Umno.

Pengganti Tunku, Tun Abdul Razak Hussein kemudian membawanya masuk ke dalam Umno dan meniti tangga kepimpinan hingga menjadi Naib Presiden. Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia, penggantinya, Tun Hussein Onn, memilih Mahathir menjadi Timbalannya.

Pada tahun 1981 Mahathir menggantikan Tun Hussein sebagai Perdana Menteri dan memegang jawatan itu sehingga 2003. Sepanjang 22 tahun memerintah itu, Mahathir memecat dua Timbalan Perdana Menterti – Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa perlu menggunakan kuasa mahkamah, Musa dan Anwar terkulai di kerusi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Mahathir cuma menggunakan kuasa pengerusi BN dan Umno sahaja. Kini Mahathir Pengerusi PH.

Anwar boleh bertempik dari dalam penjara jangan ambil tindakan politik ini dan itu, tetapi selagi Mahathir pengerusi PH, suara Anwar akan tenggelam.

Satu isu menarik diperhatikan ialah bagaimana isu pengagihan kerusi di kalangan empat parti ini akan dilakukan. Dalam pilihanraya umum 1999, PAS adalah parti paling baik hati. Demi simpati dan kagum dengan kepimpinan Anwar ia banyak berkorban kerusi tradisinya. PKR (ketika itu Parti Keadilan Negara) menang lima kerusi atas ehsan PAS yang membantu sepenuh hati.

Bagaimanapun ‘parti baik hati’ itu tidak lagi bersama PH untuk meminjamkan kekuatan jentera pilihanrayanya. Penggantinya, Amanah, lebih berlagak parti intelektual dan profesional. Ia bukan terbilang sebagai parti kuat kerja.

Ia bergerak atas “restu dan teori-teori” pergerakan Islam seperti El Nehda dari Tunisia. Teruk kepimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dikritiknya kerana dikatakan tidak inklusif pada bukan Islam dan wawasan politiknya singkat. Rujukan mereka ialah pimpinan El Nehda, Racid Ghanoushi.

Bagaimanapun apabila pemimpin Tunisia itu melawat Malaysia minggu lalu, beliau terkesima melihat bahawa demokrasi Malaysia adalah lebih majuberbanding yang pernah dicapai oleh Tunisia sebelum dan selepas berlakunya Arab Spring.

Pemimpin-pemimpin Amanah juga terkedu dengan kekaguman Rachid.

Dalam politik, apa yang Mahathir mahu, beliau mesti perolehi. Bayangkan sebagai seorang perdana menteri pencen, beliau boleh merengek dan merajuk meninggalkan Umno kerana mahu presiden Umno, Tun Abdullah Badawi meletak jawatan.

Beliau mahu Datuk Seri Najib mengganti Pak Lah. Namun apabila Najib enggan mengikut telunjuknya bersandarkan realiti sosio-ekonomi dan politik hari ini, Mahathir bukan sahaja keluar Umno malah menubuhkan PPBM untuk membunuh Umno berserta Najib.

Apa Ketua Umum PH, Anwar Ibrahim boleh buat jika Mahathir sudah menetapkan sesuatu keputusan dalam mesyuarat PH?

Opsyen yang tinggal bagi Anwar mungkin mengarahkan PKR, keluar PH. Yang dibimbangani ketika itu ramai pemimpin PKR sudah serasi dengan politik ala-Mahathir dan cuma boleh menyambung duka Anwar di dalam penjara.

Yang benar mengenali watak politik Mahathir ialah Musa Hitam dan Anwar Ibrahim. Kedua-duanya mengambil sikap berjiwa besar dan cuba bekerjasama dengannya. Namun selagi beliau pengerusi eksekutif baik dalam Umno aatau PH, kuasa adalah miliknya.



Source link

Editor

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com