April 24, 2018
You can use WP menu builder to build menus


LONDON: Buat kali pertama membuka cerita tentang upacara kemahkotaan baginda pada 65 tahun lalu, Ratu Elizabeth mendedahkan betapa tidak selesa berada dalam pedati diraja, dan betapa memakai mahkota diraja berisiko ‘patah tengkuk’.

Monarki Britain paling lama yang bertakhta itu telah ditabal sebagai ratu pada 2 Jun 1953 di Westminster Abbey, London, dalam satu istiadat mewah yang membawa tradisi seusang 1,000 tahun.

Reuters melaporkan, dalam satu edisi dokumentari BBC yang bakal ke udara pada Ahad, Ratu Elizabeth bercakap secara berseloroh tentang istiadat tersebut dan mahkota yang membawa peranan simbolik dalam upacara gilang-gemilang berkenaan.

“Teruk,” kata baginda mengenai perjalanan di dalam pedati emas seberat 4 tan dari Istana Buckingham ke Westminster Abbey, iaitu tempat raja-raja monarki Inggeris dimahkotakan sejak tahun 1066.

“Ia hanya berlapik material kulit, sangat tidak selesa,” kata baginda.

Elizabeth, kini 91 tahun, cuma berumur 25 tahun ketika menjadi ratu, setelah kemangkatan ayahandanya George VI pada 1952. Kemahkotaan tersebut berlangsung pada tahun berikutnya.

“Ia suatu permulaan kehidupan seseorang yang berdaulat. Ia seperti satu pertunjukan kesatriaan yang dilakukan mengikut istiadat lama. Saya pernah menyaksikan istiadat seumpamanya (ayahanda baginda pada 1937), dan saya pula dimahkotakan dalam satu istiadat lain. Itu luar biasa,” kata Elizabeth.

Menyingkap memori peribadi baginda, Elizabeth juga mendedahkan betapa baginda bersusah-payah menyarungkan persalinan diraja, yang diperbuat daripada sutera bersulamkan mutiara, serta benang emas dan perak.

“Saya teringat pada satu masa ketika hendak berjalan atas permaidani, saya tidak boleh bergerak langsung!”

Ratu Elizabeth membuka cerita tentang pengalaman baginda dimahkotakan sebagai Ratu. - Reuters

Putera Charles sebelum ini pernah bercerita tentang pengalaman bondanya berlatih memakai Mahkota St. Edward yang seberat 2.2 kilogram tersebut ketika memandikan Charles.

Elizabeth memakai dua mahkota dalam istiadat itu – Mahkota St Edward, dan juga Mahkota Diraja ‘Imperial State’ yang bertatahkan berlian, seperti yang dikenakan ketika ke upacara rasmi seperti pembukaan Parlimen atau ketika membacakan ucapan dasar-dasar negara.

“Anda tidak boleh memandang ke bawah untuk membaca ucapan, anda perlu meninggikan kertas ucapan. Kerana jika anda berbuat demikian, tengkuk boleh patah dan mahkota akan tertanggal.

“Maka, ada beberapa kelemahan jika memakai mahkota. Namun selain daripada itu, ia adalah sesuatu yang penting,” kata Elizabeth tersenyum.

Elizabeth sebelum ini tidak pernah bersetuju untuk membuat temu bual rasmi sepanjang baginda bertakhta. Dalam dokumentari eksklusif BBC itu, baginda menceritakan pengalaman baginda di hadapan pakar istiadat kemahkotaan, Alastair Bruce.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: