April 22, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KOTA BHARU: Tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Bachok, Kelantan yang meminum ketum dan video perbuatan mereka tular di sosial media kini menjalani proses kaunseling dan intervensi.

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK Kelantan, Rohayu Ahmad, selain tiga pelajar perempuan tersebut, tiga pelajar lelaki yang juga rakan sekolah mereka turut menjalani kaunseling.

Kesemua mereka masih bersekolah dan proses kaunseling itu dijalankan bagi mengelak mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah atau mengambil bahan terlarang secara berterusan.

AADK juga katanya, meletakkan kesemua mereka di bawah pemantauan agensi berkenaan.

“Keluarga enam pelajar yang terlibat juga memberi kerjasama baik, dan kami sedang menjalankan intervensi iaitu sesi kaunseling dan bimbingan” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas pelajar terlibat juga menunjukkan keputusan negatif kerana mereka hanya mengambil ketum.

Tiga rakan lelaki dari sekolah yang sama itu, dikenal pasti sebagai mereka yang bertanggungjawab membawa dan mengagihkan air ketum kepada tiga pelajar perempuan itu.

Sementara pengedar air ketum berkenaan sudah ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Minggu lalu tersebar satu video di media sosial yang memaparkan gelagat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah sedang meminum air ketum.

Video berkenaan mendorong siasatan segera polis dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Tonton: Jabatan Pendidikan Negeri dan polis siasat video pelajar perempuan minum ketum

Hasil siasatan mendapati pelajar terlibat terdiri daripada Pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di Bachok.

Insiden bagaimanapun berlaku di luar kawasan dan waktu persekolahan.

Kesemua pelajar berkenaan dipercayai berkongsi wang membeli air Ketum itu dengan harga RM10 kerana ingin mencuba.

Hasil semakan juga mendapati kesemua tiga pelajar perempuan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kes disiplin.

Sementara itu, AADK memaklumkan golongan remaja terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik di Kelantan sentiasa bertambah saban masa.

Berdasarkan statistik, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan jumlah 7,471 Orang Kena Pengawasan (OKP), meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 5,565 orang.

Daripada jumlah itu, 83 peratus daripadanya adalah golongan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun.

Baca: Viral pelajar minum air ketum: Tindakan akan diambil jika benar berlaku – Mahdzir



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: