April 25, 2018
You can use WP menu builder to build menus



GOLD COAST: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak pernah mengecewakan kontinjen Malaysia jika diberi tanggungjawab untuk membawa cabaran negara pada mana-mana kejohanan mahupun temasya besar.

Ia terbukti apabila pemain ketujuh dunia itu menyumbang pingat emas di Sukan Komanwel 2018 selepas menang 2-0 kepada pemain nombor satu dunia dari India, K. Srikanth, hari ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria ternyata berbangga dengan pencapaian Chong Wei dan juga pasukan badminton negara yang telah menyumbang dua emas, satu perak dan dua gangsa pada edisi 2018.

“Tekanan telah diletakkan kepada skuad badminton yang mana kita sentiasa menjadi harapan kepada kontinjen negara untuk menyumbang pingat namun Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo sangat membanggakan kita semua.

“Selepas kita mendapat tamparan dalam acara berpasukan campuran, semangat mereka tidak luntur untuk terus pamerkan aksi yang cukup sengit pada final individu hari ini. Chong Wei tidak pernah mengecewakan dan beliau merupakan ikon kepada semua,” katanya di Carrara Sports and Leisure Centre.

Beliau berkata Chong Wei telah menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila dengan bersungguh-sungguh mematahkan kemaraan dua pemain India, HS Prannoy (separuh akhir) dan Srikanth (final) yang jauh lebih muda daripadanya (perbezaan umur 11 tahun).

Katanya, cabaran yang terpaksa dihadapi Chong Wei di Sukan Komanwel kali ini untuk menang pingat emas bukan mudah apabila beliau terpaksa menentang pemain nombor satu dunia (Srikanth) dan ke-11 dunia (Prannoy).

Selain Chong Wei, Mohamad Norza turut memuji prestasi positif Mei Kuan-Vivian yang menang pingat emas walaupun tidak diletakkan sasaran pingat pada awalnya.

Katanya, beliau tidak menyangka gandingan bukan pilihan kejohanan, Mei Kuan-Vivian mampu bangkit dan menewaskan beregu pilihan pada temasya kali ini.

Bagaimanapun, Mohamad Norza turut melahirkan rasa kecewa terhadap beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang gagal mencapai sasaran diletakkan apabila sekadar meraih pingat gangsa.

“Kita ada dua beregu pilihan tapi kedua-duanya telah gagal untuk capai sasaran, sangat mengecewakan. Namun bagi berpasukan campuran, walaupun kita sasar emas tapi hanya dapat perak, namun mereka telah buat yang terbaik.

“Pasukan India pilihan utama dengan diwakili beberapa pemain dunia jadi logik jika hanya raih pingat perak. Pasukan telah buat yang terbaik walaupun di sebalik ketewasan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan ke Piala Thomas pada Mei ini, Mohamad Norza berkata BAM masih perlu bergantung kepada Chong Wei untuk beraksi di Bangkok, nanti.

— BERNAMA



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: