April 25, 2018
You can use WP menu builder to build menus


PENAMPANG: Dari jauh kelihatan susuk tubuh lelaki kurus dan berambut panjang termenung ke arah Sungai Babagon.

Kami menyapa lelaki itu, lalu dia menoleh dan menghulurkan tangannya untuk berjabat sambil melontarkan senyuman mesra.

Rambut putihnya yang menampakkan usianya yang makin lanjut itu diikat ala gaya pelakon terkenal 90an, Steven Seagal cocok dengan gelaran diberikan penduduk kampung.

William Joti Jonioh, 71 tahun yang merupakan Pengerusi Tagal Babagon seolah-olah ‘jaga’ di sungai itu.

Setiap pagi dia akan bertugas di ‘tol’ atau kaunter tiket masuk ke kawasan sungai Babagon.

William Joti Jonioh, 71 tahun merupakan penjaga Sungai Babagon, Penampang.

Menurut William, kampungnya itu telah melaksanakan sistem tagal hampir dua dekad lalu bagi melindungi khazanah sungai yang diwarisi oleh nenek moyang mereka.

“Sungai ini dahulunya banyak ikan tetapi semakin berkurangan selepas diceroboh oleh orang luar dan kaedah penangkapan ikan tidak terkawal seperti penggunaan ‘generator’ dan bom ikan.”

“Ketika itu orang kampung bergantung kepada ikan sebagai sumber rezeki namun tiada lagi ikan, kami terpaksa ke bandar untuk mencari ikan,” katanya.

Situasi itu mendorong penduduk kampung bersepakat melaksanakan sistem tagal.

Adat tagal masih diwarisi 

Aktiviti sistem tagal adalah mengikut adat suku kaum Dusun dan merupakan amalan turun-temurun.

Pertamanya, ia perlu melibatkan persetujuan seluruh kampung selain semua pihak perlu bersama-sama menjaga sungai dan hidupannya.

Tagal dalam bahasa Dusun bermaksud ‘ditegah’ dengan sumpah iaitu melarang pengambilan milik mereka seperti buah-buahan dan hasil ikan.

Nenek moyang menanda tagal dengan memacak sebatang kayu yang hujungnya ditajamkan dan menghala ke kawasan larangan.

Kaedah turun-temurun itu sebagai tanda larangan dan sangat dihormati kaum Kadazandusun.

Sungai Babagon yang mempunyai sejarah tersendiri.

Tagal sekarang

Warisan turun-temurun itu masih diwarisi sehingga ke hari ini.

Di Kampung Babagon, tanduk besar dipacak sebelah sungai sebagai tanda amaran kepada pihak luar: JANGAN AMBIL IKAN KAMI.

Kini ia juga diubah suai untuk menjaga persekitaran sungai.

“Tagal ini tujuan untuk memelihara ikan. Boleh pancing ikan tetapi hanya dengan kebenaran atau kaedah tangkap lepas.

“Sebenarnya ia juga bagi menjaga sungai dan kebersihannya supaya sampah tidak dibuang begitu sahaja. Kami mahu sungai sentiasa bersih kerana ia juga dapat menarik pelancong luar,” kata William.

Yang pasti adat tagal masih utuh. Sesiapa yang didapati mengambil ikan tanpa kebenaran akan didenda mengikut hukum adat.

“Jika mereka mendapat menangkap ikan tanpa kebenaran, mereka akan kena denda dan kes akan dibawa ke mahkamah anak negeri untuk diselesaikan.”

“Biasanya mereka yang bersalah akan didenda RM500 dan seekor binatang sama ada kambing, khinzir atau kerbau,” katanya. 

Terbukti pelaksanaan sistem itu telah berjaya mengembalikan jumlah populasi ikan di sungai berkenaan.

Malah ia kini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Nenek moyang bilang jangan lupa adat dan warisan kita. Sungai ini juga warisan kita jadi harus kita pelihara sampai bila-bila,” katanya lagi.

Pemandangan kawasan perkampungan di Sungai Babagon, Penampang.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: