Spread the love


KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 dibentang Kerajaan PH masih jauh dari membantu memenuhi atau memberi kelebihan kepada anak muda khususnya untuk bertapak memulakan kerjaya dan mempunyai ketenangan hidup.

Perkara tersebut dikupas bersama Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin pada program Teh Tarik For Malaysia di Pejabat Pemuda PAS Selangor di Gombak, semalam.

Kedua panelis itu turut sepakat menegaskan, mereka tidak hanya menyatakan masalah dan melontarkan kritikan, tetapi mewakili Gagasan Sejahtera pernah mengemukakan pelbagai cadangan penyelesaian yang didokumenkan secara rasmi.

Antara diulas mereka ialah isu bantuan petrol bersasar kepada pemilik kereta berkapasiti 1500cc pada Belanjawan 2019 itu yang bagaimanapun kemudiannya dinyatakan sebagai masih memerlukan kajian oleh pihak kerajaan.

“Tak apalah, teruskan kajian. Sekarang kamu (PH) sudah jadi kerajaan. Tak kan perkara ini tidak difikir awal (sebelum bentang)? So, buat ‘kajian’ itu secepat mungkin, beri jawapan pada rakyat.

“Sebab rakyat rasa amat tidak puas hati dengan kenyataan itu seolah-olah menolak bantuan subsidi diberikan kepada rakyat yang sepatutnya,” bidas Ir Khairil dengan nada sinikal.

Shahir pula menempelak perkara itu dengan rasa kelucuan kerana Manifesto PH sendiri menyatakan pemberian subsidi bersasar untuk kereta kapasiti 1300cc, tetapi berubah kepada 1500cc dan terbaharu mahu mengkaji semula.

Manifesto Gagasan Sejahtera dalam hal itu menggariskan untuk memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300cc menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardhul Hasan).

“Sekarang ini, perkembangan teknologi menyebabkan kereta-kereta moden, kereta dari Jerman khususnya mengguna pakai ‘twin engine‘ untuk Volvo atau ‘turbo charge’. Menjadikan kapasiti enjin lebih rendah 1500cc tetapi ‘horsepower‘ lebih tinggi.

“Kalau kita tengok Formula One pun, enjin diletakkan adalah 1600cc, tapi ‘hybrid’ atau ‘turbo charge’ menjadikan ‘horsepower’ dia tinggi.

“Jadi, ‘technology transfer‘ kepada dunia automotif membolehkan pengeluar hasilkan kereta berkapasiti enjin kecil, tetapi berkuasa besar,” kemuka Ir Khairil mempersoal rasional PH itu.

Kerana itu jelasnya, Manifesto Gagasan Sejahtera mahu mengecualikan duti eksais tersebut agar kereta yang menjadi keperluan masa kini dapat dimiliki golongan berpendapatan rendah, sebaliknya pula akan dikenakan kepada kereta mewah.

Selari perkara sama juga menurutnya, Pemuda PAS pernah membawa formula kepada pihak Kerajaan Persekutuan mengenai Automatic Pricing Mechanism untuk menstabilkan harga RON95 menerusi apungan atau ditampan dengan subsidi.

Begitu juga kupasnya, isu yang mendesak dan melingkari anak muda adalah kemampuan memiliki rumah di mana pengumuman Menteri Kewangan mengenai ‘Rumah Pertama’ dalam Belanjawan 2019 itu sebenarnya tidak mudah dilaksanakan.

Terangnya, terdapat banyak faktor dan pembolehubah yang akan menyebabkan harga rumah semakin naik, di mana memerlukan kerajaan menggunakan dana dan kuasa bagi mengapung atau memampan kos pelaburan pemaju.

Kerana itulah katanya, Gagasan Sejahtera menerusi Dokumen Hijau menekankan penyelesaian hal tersebut menerusi Sukuk Ijarah antaranya Musyarakah sebagai antara teknik untuk anak muda memiliki rumah.

Shahir turut menambah mengenai banyaknya kekurangan kepada anak muda dari Belanjawan 2019 Kerajaan PH, di mana selain potongan peruntukan pendidikan, asrama, biasiswa dan PTPTN, bahkan juga Bantuan Sara Hidup berbanding BR1M.

Begitu juga menurutnya, bonus penjawat awam dan pesara yang masing-masing mempunyai ‘tunggakan’ RM500 dan RM250 dari Belanjawan 2018, Kerajaan PH hanya ‘melangsaikannya’ pada Belanjawan ini dan bukannya bonus baharu.

Menggulung perbincangan itu Ir Khairil mengakui, walaupun cadangan Gagasan Sejahtera itu mungkin tidak popular, tetapi ia penting Kerajaan PH bersikap terbuka untuk meneliti dan mengaplikasikan idea-idea yang sesuai.

Kerana ujar beliau, hasil petroleum misalnya, adalah hak untuk dinikmati semua rakyat dan pembelaan untuk anak muda memiliki kemampuan dan ketenangan hidup adalah bagi meninggikan produktiviti yang sekali gus menyumbang peningkatan pendapatan negara. – HARAKAHDAILY 9/11/2018





Source link

No Comments

Leave a Comment

Kuala Lumpur, Malaysia
Saturday, 17th November, 2018
9th Rabi-Al-Awaal, 1440
SalatTime
Fajr5:46 AM
Sunrise6:59 AM
Zuhr12:58 PM
Asr4:21 PM
Magrib6:57 PM
Isha8:10 PM
%d bloggers like this: